Seperti biasa, buat anak-anak Mama & Papa, kami akan mengadakan ibadat Aqiqah ini seboleh-bolehnya sebaik sahaja habis waktu pantang. Selalunya aqiqah dilakukan sekali dengan tradisi berendoi (bukan sunnah). Kali ini, majlis dibuat pada hari ke 58 umur Aisha, juga bersamaan 20 April - hari lahir abang Muaz ke 11, yang keesokannya pula hari lahir abang Adam yang ke 10, yang diraikan bersama dengan hari ulangtahun perkahwinan Atuk & Wan yang ke 40, dan juga ulangtahun perkahwinan Mak & Uncle Jek yang ke …berapa ye, 7?
Sebagai imbasan, berikut adalah pengertian Aqiqah sebelum Mama bercerita lebih panjang. Mama petik huraian ini dari sini.
AQIQAH UNTUK ANAK
Aqiqah, pengertian dari segi bahasa ialah rambut di kepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud:
"Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
Ibnu Majah menerangkan maksud "... terpelihara dengan aqiqahnya..." (pada mafhum hadis di atas) adalah bahawa aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.
Menurut Imam Ahmad bin Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya diakhirat kelak.
HUKUM AQIQAH
Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib. Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi).
Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
Jadi, sebagai amalan biasa di kampong, maka kami korbankan seekor biri-biri buat Aisha kali ini. Dulu ketika abang Adam, kami korbankan 2 ekor kambing, seekor buat kak Aina manakala buat abang Amir, 2/7 bahagian lembu ketika berkongsi majlis aqiqah cucu-cucu Wan Andak.
Biri-biri disembelih petang sebelum majlis berendoi. Wan beriya-iya hendak memasak rendang, jadi Mama & Papa ikutkan sahaja. Disebabkan Wan& Atuk sudah lama tidak berkenduri, maka Mama & Papa turut sahaja rancangan mereka, terutama Wan. Rendang dimasak petang itu juga, dan pada waktu malam, jiran-jiran Wan datang ke rumah menolong menyediakan rencah-rencah untuk memasak pada pada keesokan harinya. Mama dan adik-beradik ipar-duai Mama juga sibuk di dapur.
Suasana gotong-royong masih diamalkan di kampong kita, ini suatu amalan yang patut dikekalkan oleh generasi baru. Namun, disebabkan arus hidup yang membuatkan anak-anak Wan berpindah dan berumah-tangga di kota, kami jarang-jarang dapat melaksanakan amalan ini. Kadang-kala Wan ada meluahkan kerisauannya tentang apabila Wan dan kawan-kawannya meningkat usia nanti, siapakah pula yang akan meneruskan tradisi ini.
Berbalik kepada majlis Aisha ini, kali ini Mama teringin membuat buai yang comel buat Aisha, jadi Mama sediakan buai yang dipinjamkan Ateh dengan warna ungu dan merah jambu. Buainya agak ringkas kerana Mama kekurangan kain untuk digunakan.
Pagi esok harinya, kumpulan Marhaban kenalan/saudara-mara Wan pun tiba untuk upacara berendoi. Mama pakaikan Aisha gaun warna putih dan merah jambu, dibungai warna ungu. Anggun sekali anak Mama pertama kali naik buaian. Aisha terus lena dibelai alunan suara nenek-nenek dengan lagu-lagu yang mendayu.
Suatu perkara ketika majlis berendoi ini yang selalu mengusik jiwa Mama ialah sebuah lagu atau nazam yang menceritakan tentang betapa perit ibu mengandung dan anak patut sentiasa menghormati ibunya. Setiap kali lagu ini dialunkan, Mama mesti akan menitiskan air mata. Suatu hari nanti, Mama akan letakkan lirik lagu itu di sini insya’Allah. Tetapi seingat mama, antara lirik awalnya ialah:
Ayuhai anak di dalam buaian
Pejamkan mata jangan tangiskan
Lagu Berendoi kami dendangkan
Di dalam majlis tanda kesyukuran
Lamalah sudah kami menanti
Namun engkau tak kunjung tiba
Dengan takdir ilahi rabbi
Kini engkau sudah menjelma
Selepas berendoi, upacara cukur jambul pula dilakukan, dimulai dengan Wan yang memotong sedikit rambut Aisha (yang tidak banyak itu), kemudian oleh Papa dan kaum-kaum ibu dan nenek yang hadir di situ, diringi dengan selawat keatas Nabi junjungan. Namun Aisha tidak sempat dicukurkan hari itu kerana masa tidak mengizinkan (Aisha akhirnya dicukur oleh Mama & Papa sendiri di Shah Alam pada 1 Mei :-)).
Selesai upacara berendoi dan cukur jambul, Abang Muaz & Abang Adam diraikan pula dengan acara memotong kek. Kanak-kanak yang hadir dihadiahkan sedikit ole-ole yang terdiri dari pensil, mainan kecil dan makanan ringan. Hanya selepas acara itu, barulah tetamu semua diraikan dengan hidangan makanan tengahari berlaukkan rendang biri-biri serta gulai masam ikan sungai dan sebagainya.
Alhamdulillah, semua anak-anak Mama telah diaqiqahkan. Tidak perlu bimbang lagi di kemudian hari…
3 comments:
panjang nya karangan mama, beratus-ratus patah perkataan..
ala...sedihnya..atam tak tengok..first kenduri kat kg atam tak balik...huwaaaaaa....
chian atam, seingat2 mak lah, walaupun mak berada 4 tahun diperantauan, tak ada kenduri pun selama itu.Rezeki hanya Allah yang tahu.Rileks lah atam, hehehehe
Post a Comment